Tuesday, 13 December 2016

Eyes Wide Open / Einayim Pkuhot (2009)

Israel | 2009 
Arahan: Haim Tabakman
Tulisan: Merav Doster
Lakonan:  Ran Danker (Ezri), Zohar Strauss (Aaron), Ravit Rozen (Rivka Fleischman


Aku boleh faham kenapa filem ini dapat rating bagus daripada Rotten Tomatoes. Kerana aku pun suka dan boleh merasakan resah gelisah pendukung watak utamanya, a.k.a. protagonis dalam filem ini. Aaron (Zohar Strauss) ialah Yahudi Ortodoks yang telah berkahwin dan bapa kepada empat orang anak yang menetap di Jerusalem. Dia mengambil alih perniagaan kedai menyembelih selepas kematian ayahnya.

Datanglah pula jejaka tampan berusi 19 tahun bernama Ezri (Ran Danker), yang tiada berumah, ke kedai si Aaron ini. Pada awalnya untuk meminjam telefon di kedai itu. Mula-mula Ezri minta untuk bekerja di kedainya tetapi Aaron menolak. (Pada fikiran aku, sebab dia menolak tu pun sebab dia takut tidak dapat menahan gejolak nafsunya kalau-kalau dia tewas; maklumlah orang macam kita ni kan agak rapuh terutamanya apabila berdepan dengan keindahan dalam bentuk manusia sempurna - gitu).

Kemudiannya, Aaron mendapati Ezri tidur di kuil (synagogue) dan sebab kasihan, dan Aaron ini memanglah Yahudi yang alim, dia pun menawarkan Ezri tempat tinggal di kedainya. Dia jadikan Ezri sebagai aprentisnya, dan pada masa yang sama menggalakkan Ezri belajar agama dan mendorongnya dalam bakat melukisnya.

Kedua-dua mereka lama kelamaan semakin rapat selepas Ezri mengajak Aaron bersama-samanya untuk mandi suci (ritual bath) di kawasan terpencil luar dari bandar.

Sementara itu, Rivka, isteri Aaron yang taat pada suami, menyambut baik kehadiran Ezri dalam keluarga mereka.

Lalu pada satu petang selepas Aaron meminta Ezri melukis potretnya, Ezri cuba melakukan sesuatu yang seksual. Mungkin Ezri dah tak tahan dengan nafsu remajanya. (Hmm... bertuah Aaron yang lebih tua itu dighairahi oleh jejaka muda dan tampan)



Aaron menolak pada mulanya, tapi kecundang akhirnya, lalu mereka berkucupan. Selepas itu bermulalah hubungan mereka yang kini berlandaskan fizikal dan seksual.

Rivka isterinya mula menaruh syak wasangka apabila suaminya sering lambat balik ke rumah. Rabbi Vaisben pula cuba memberi amaran kepada Aaron tentang hubungan rapatnya dengan Ezri.

Aaron keliru dan gundah - antara keluarga, tuhan, dan perasaannya terhadap Ezri.


~ Aria

Something Must Break / Nånting Måste Gå Sönder (2014)

Sweden | 2014 | 90 min 
Arahan : Ester Martin Bergsmark 
Tulisan : Ester Martin Bergsmark, Eli Leven
Lakonan: Saga Becker (Sebastian), Iggy Malmborg (Andreas), Shima Niavarani (Lea)


Ceritanya agak unik. Kisah cinta antara dua remaja - seorang separuh-separuh (androgynous) dan seorang lagi lelaki yang memang sah bukan orang kita. Mereka berdua lalu menjalin satu ikatan, lantas meletakkan mereka berdepan dengan masyarakat Sweden yang bagaikan segalanya sempurna. 

Mereka mengimpikan untuk lari daripada kebosanan kehidupan bertunjangkan aturan, lalu mengambil risiko menjadi apa yang bertentangan dengan semua orang. 

Dan dalam diri Sebastian wujud pula Ellie - wanita yang sangat Andreas sayangi dan pada masa yang sama geruni. Inilah musim panas di mana segalanya berlaku dan mereka berdua harus memilih jalan yang akan menentukan kehidupan mereka selama-lamanya. 

Inilah pertarungan cinta di mana Sebastian akhirnya sedar bahawa dia harus "melepaskan" Ellie, mencari kekuatan dalam dirinya sendiri dan tidak menyandarkan kebahagiaannya kepada orang lain.



~ Aria


Thursday, 18 August 2016

Suicide Room / Sala Samobójców (2011)

Poland | 2011 | 113 min 
Arahan : Jan Komasa
Tulisan: Jan Komasa
Lakonan: Danie Jakub gierszal (Dominik Santorski), Roma Gasiorowska (Sylwia), Agata Kulesza (Beata Santorska), Kryzsztof Pieczynski (Andrzej Santorski) 


OK bagi aku, filem ini memang terbaik. Kisah yang memapar dan menceritakan dengan bijak tentang kesunyian dan kegelapan yang dialami oleh pendukung utamanya, Dominik yang merupakan pelajar sekolah tinggi. Dominik anak tunggal dan membesar dalam sebuah keluarga kaya. Walaupun dia menyembunyikan keraguannya samada dia mungkin orang kita, dia seorang pelajar biasa di sekolahnya, sering berhubung dengan kawan-kawannya melalui Facebook. 

Ibu bapanya berjaya dalam kerjaya masing-masing dan kesibukan mereka menyebabkan mereka sering tersisih walaupun tinggal di bawah bumbung yang sama. Semasa majlis senior prom sebelum graduasi, dicabar oleh kawan-kawan wanita mereka untuk mencium rakan lelakinya Aleksander (yang sebenarnya budak yang Dominik ni terpikat pun). Dalam ketawa dan jenaka, kawannya merakam aksi mereka dan memuat turun ke Facebook. Maka banyaklah komen yang diterima tentang video dia bercium. Dalam sekelip mata saja, Dominik menjadi bahan ketawa dan ejekan. 



Pada mulanya Dominik suka dan berasa itu sesuatu yang kelakar. Tetapi pada sati insiden apabila dia berlatih kungfu (ke judo aku tak pasti pulak), Dominik telah 'terpancut" akibat sangat terangsang barangkali dalam aksi-aksi "pergelutan" antara dia dan jejaka idamannya itu. 

Maka kejadian ini tersebarlah di laman-laman media sosial, menambahkan lagi keaiban Dominik. Ini membuatkannya menjadi terpinggir, dan membuatkannya meminggirkan dirinya daripada orang ramai. Daripada sinilah lalu dia memasuki alam maya setelah diundang menyertai rangkaian 3D. Dia bertemu Sylwia, wanita yang suicidal, yang pernah cuba membunuh diri dan memakai topeng. 

Di dalam Suicide Room, ahli-ahli kumpulan ini menonton filem-fiem orang membunuh diri. Lama-kelamaan, perhubungan Dominik dan Sylwia di alam maya bertambah erat sehinggakan Dominik ponteng sekolah untuk bersama Sylwia. Keinginannya untuk bersemuka dengan Sylwia di alam nyata semakin membuak-buak, yang kemudian akhirnya menjurus kepada sesuatu kejadian...

Itu sahaja yang aku boleh ceritakan sebab aku tak nak ada spoiler dalam ruangan ini. Korang kena tonton sendiri kalau nak tahu betapa menarik dan berkesan filem ini.





Wins

  • 14th Polish Film Awards
    • Eagle for Best Editing: Bartosz Pietras
    • Eagle for Discovery of the year: Jan Komasa
  • Gold Ducks 2011
    • Best movie: Jan Komasa
    • Best actress: Roma Gąsiorowska
    • Best actor: Jakub Gierszał
    • Best script: Jan Komasa
    • Best photoshooting: Radosław Ładczuk
  • New Horizons Film Festival 2011
    • New Polish Movies: Jan Komasa
    • Best Debut: Jan Komasa
  • 36th Polish Film Festival
    • Silver lions for movie
    • Silver lions for producer: Jerzy Kapuściński
    • Another 2 individual prizes and 5 special prizes
  • Camerimage 2011
    • The Best Polish Film

~ Aria

Saturday, 27 June 2015

Good Boys / Yeladim Tovim (2005)

Israel | 2005 | 75 min 
Arahan : Yair Hochner
Tulisan: Maris Pfeiffer, Ben Taylor
Lakonan: Daniel Efrat (Menni), Yuval Raz (Tal)
Nilli Zeruya (Mika), Ori Urian (Eran), Tomer Ilan (Lior)


Menni (Daniel Efrat), 17 tahun, yang menyukai muzik dan wayang, menjual badan di Tel Aviv sebagai kerjayanya. Begitu juga dengan seorang lagi yang bernama Tal (Yuval Raz). Pada satu malam, seorang lelaki lebih tua bernama John mengambil mereka berdua untuk melakukan seks bersama-sama untuk dia tonton. 


Daniel Efrat yang memegang watak Menni



Menni mempunyai seorang bayi hasil hubungannya dengan Mika, perempuan muda yang juga pelacur. 

Dia juga ada mak angkat, seorang mak nyah pelacur veteran. 

Menni bertemu lagi dengan Tal dan mereka menghabiskan malam bersama-sama. Pada malam itu, mereka berdua berasakan satu erti baru kepada kehidupan. Menni pula terasa hatinya terpaut kepada Tal, dan begitu juga dengan Tal.

Malang bagi Tal apabila dia bertemu seorang lelaki kacak di club, Lior (Tomer Ilan) yang kemudian mengajaknya untuk balik ke rumahnya untuk projek. Selepas mereka selesai, Tal mendapat tahu bahawa lelaki itu anggota polis. 


Menni bersama salah seorang pelanggannya sebelum seks.

Tanpa diduganya, Tal diikat  di katil dan Lior menghubungi kliennya yang suka seks sadis. Rupa-rupanya dia menggunakan Tal untuk mengaut keuntungan. 

Menni pula, bila melihat Tal tidak menunggunya di club, memikirkan bahawa Tal tidak mempunyai perasaan yang sama sepertinya. Dia cuba untuk melupakan perasaannya dan terfikir bahawa mungkin sebuah perhubungan murni bukan untuk orang sepertinya.

Nak tahu kesudahannya, korang tontonlah. 
Menarik juga sebab ada adegan yang tunjuk barang kemas mamat pelakon Yahudi bernama Daniel Efrat ini.


Menni, selepas satu sesi


~ Aria

An Unusual Affair / Eine Aussergewöhnliche Affäre (2002)


Germany | 2002 | 93 min 
Arahan : Maris Pfeiffer
Tulisan: Maris Pfeiffer, Ben Taylor
Lakonan: Hans Werner Meyer (Jochen Wenzel), Tatjana Blacher (Ina Wenzel), Matthias Walter (Tom Leuthner), August Schmolzer (Wolfgang Bauer), Bruno Cathomas (Michael Kaiser)


Bukan pertama pertama kali aku tonton filem orang macam kita yang mengisahkan tentang lelaki "straight" yang sudah berkahwin mula mengenali dirinya yang sebenar. Begitulah yang terjadi kepada protagonis dalam filem ini, Jochen Wenzel (Hans Werner Meyer) telah hidup sebagai sepasang suami isteri dengan kekasihnya dari kecil, Ina (Tatjana Blacher) bersama sepansang cahaya mata mereka, seorang anak perempuan dan seorang anak lelaki yang sedang meniti keremajaan. Perhubungan Jochen dan Ina bukan setakat di rumah sahaja oleh kerana mereka juga merupakan guru di sekolah yang sama. 

Apabila seorang guru muda, yang tampan seharusnya, tiba di sekolah itu, hati Jochen mula bergelodak. Tom Leuthner (Matthias Walter), dengan rambutnya yang panjang berwarna keemasan, kulit yang mulus, dan mata yang menggoda, nyata melemahkan iman Jochen yang sememangnya selama hidupnya memendamkan perasaan dan syahwatnya terhadap kaum sejenisnya. 

Walaupun cuba ditahan, jiwa Jochen akhirnya tewas kepada Tom yang sememangnya tidak berselindung tentang orientasi seksualnya kepada umum. Bagi mereka, hubungan sulit yang dijalinkan itu bukan sekadar seks tetapi suatu pertalian jiwa bernama cinta.

Setelah Ina akhirnya mengetahui tentang perhubungan suaminya dengan Tom, dia meminta Jochen memilih antara dua. Maka Jochen berdepan dengan persoalan samada dia bersedia untuk meninggalkan isteri dan dua anaknya yang disayanginya, agar jiwanya akhirnya bebas.

Bagi aku sendiri, apa yang menarik tentang filem ini adalah ia tidak cuba mengadili akan baik buruknya sesuatu orientasi seksualiti. Lebih daripada ini, ia cuba memaparkan apakah erti sebuah kehidupan jika ia didasarkan pada pembohongan - kepada orang lain, dan paling penting, kepada diri sendiri.

Aku dapat link filem ini daripada youtube. Korang boleh tonton keseluruhan filem di sini.




~ Aria

Monday, 15 June 2015

Don't Ever Wipe Tears Without Gloves / Torka aldrig tårar utan handskar (2012)

Sweden | 2012 | 180 min (60 min x 3 eps)
Arahan : Simon Kaijser
Tulisan: Jonas Gardell
Lakonan: Adam Lundgren (Benjamin), Adam Palsson (Rasmus), Simon J. Berger (Paul), Emil Almen (Seppo), Michael Jonsson (Lars-Ake), Christoffer Svensson (Bengt), Kristoffer Berglund (Reine), Annika Olsson (ibu Rasmus), Stefan Sauk (ayah Rasmus), Marie Richardson (mak Benjamin), Gerhard Hoberstorfer (ayah Benjamin), Ulf Friberg (Holger)


Filem ini dibuat sebagai filem untuk TV sebanyak 3 episod, setiap episod lebih kurang 60 minit. Ia berdasarkan novel trilogi paling laris tulisan Jonas Gardell dengan judul yang sama. Setiap episod juga menggunakan judul yang sama seperti bukunya iaitu "The Love" (Cinta), "The Disease" (Penyakit) dan "The Death" (Kematian).

Rasmus (Adam Palsson) anak muda berusia 19 tahun baru tiba di kota besar Stockholm dari mana dia selama ini menetap di sebuah tempat terpencil yang penuh konservatif. 

Penantiannya selama 19 tahun untuk meneroka alam penuh pesona akhirnya tercapai lalu bermulalah babak baru hidupnya yang baginya meriah dengan orang macam kita di situ. Dia berkenalan dengan Paul (Simon J. Berger) yang kiranya dah veteran dalam bidang ini. Melalui Paul dia mendapat sebuah keluarga kecil dari golongan serupa.

Pada masa yang sama, Benjamin (Adam Lundgren) seorang Yahudi daripada keluarga penuh ortodoks dan dia sendiri dibesarkan untuk menjadi paderi Yahudi. Kedatangannya ke rumah Paul pada satu hari untuk 'berdakwah' membawa kepadanya untuk turut meneroka dunia baru yang selama ini hanya berkampung di sudut paking dalam dalam hatinya. Soaalan Paul kepadanya yang berbunyi, "kamu tahu kamu homoseksual, bukan?" memeranjatkannya tetapi membuatkan dirinya untuk mahu keluar sahaja daripada belenggu yang merantainya selama ini.

Pada masa yang lain, Benjamin ke rumah Paul lagi dan mendapat keberanian untuk mengakui dirinya yang sebenar-benarnya. Sebagaimana setiap tahun, Paul akan mengadakan makan-makan di rumahnya sempena Krismas dan akan turut dihadiri oleh kawan-kawan rapatnya yang lain termasuk Seppo (Emil Almen), Lars-Ake (Michael Jonsson), Bengt (Christoffer Svensson) dan Reine (Kristoffer Berglund). Turut serta ialah ahli keluarga baru mereka iaitu Rasmus, dan juga Benjamin.

Lalu di sinilah Benjamin pertama kali bertemu Rasmus dan mereka sama-sama jatuh hati. Berbeza dengan Rasmus yang lebih berani bereksperimen dan sudah ditiduri ramai lelaki, Benjamin masih "dara". Rasmus ialah satu-satunya lelaki pertama yang dicintai dan disetubuhinya. 



Rasmus mahu "wujud" kehidupan Benjamin, namun itu tidak dapat dipenuhi oleh Benjamin kerana dia masih menyembunyikan identitinya daripada keluarga dan komunitinya. Di kala saat-saat kesunyian, Rasmus yang sememangnya lebih "liar", berpeleseran di taman-taman atau kelab untuk cruising dan membiarkan dirinya diratah oleh jantan, sebelum kembali semula ke rumah yang kini didiaminya berdua bersama Benjamin untuk berada dalam pelukan orang tersayangnya itu.

Benjamin tidak dapat menerima jenis perhubungan terbuka atau open relationship yang dimahukan oleh Rasmus, lalu dengan begitu berat hati, memutuskan untuk berpisah. Pada ketika inilah Rasmus menerima surat keputusan ujian HIV yang saja-saja diambilnya dan mendapati dia positif. Berita ini menyatukan mereka semula lalu Benjamin membulatkan hatinya untuk sentiasa berada di samping Rasmus. Dia membuat pengakuan kepada ibu bapanya tentang orientasi seksualnya, lalu dia dibuang oleh keluarganya. Benjamin pasrah.


Memangnya pada tahun 1980an (di mana premis cerita ini berlaku) HIV dan AIDS masih belum ada penawarnya. Penyakit ini umpama panggilan maut untuk penghidapnya. Seorang demi seorang kawan rapat mereka mati, ada juga yang membunuh diri setelah mendapat berita tersebut. Rasmus tetap bertahan di samping kekasihnya yang setia bersamanya, Benjamin.

Aku tak boleh menulis dalam cara santai seperti biasa tentang filem ini sebab sampai di saat aku menaip ni pun aku masih boleh rasa bertapa terharu dan terkesannya cerita ini. Tambahan lagi, yang pegang watak Rasmus dan Benjamin sangatlah elok rupa parasanya. Apa-apapun, aku tak nak ceritakan apa kesudahannya, korang carilah dan cubalah tonton. Aku dapat filem ni pun daripada internet aku download. 



Lagi satu, lakon layar, gambar, suntingan filem ini dan lakonan pemegang wata-watak sangat hebat.
OK selamat menonton, dan jangan lupa, jangan pernah sapu air matamu tanpa sarung tangan. Begitu dalam ertinya tu. 


~ Aria







Saturday, 13 June 2015

Yossi & Jagger (2002)

Israel | 2002 | 67 min
Arahan : Eytan Fox
Tulisan : Avner Bernheimer 
Lakonan: Ohad Knoller (Yossi), Yehuda Levi (Jagger), Assi Cohen (Ofir), Sharon Reginiano (Colonel), Aya Koren (Yaeli), Hani Furstenberg (Goldie)


Apa yang membuat filem ini "tegang" adalah kerana premisnya yang berkisarkan tentang dua abang askar. Lagi satu yang buatkan filem ini "tegang" adalah, bagi aku, pastinya ketampanan pelakonnya terutamanya Yehuda Levi yang memainkan watak Jagger. Memang cairlah orang kita kalau dapat yang begini, aku pasti.

Berbalik kepada ceritanya, Yossi & Jagger mengisahkan tentang dua askar Israel yang bertugas di sempadan Lubnan. Yossi ialah pegawai atasan. Kawasan yang mereka berjaga dilitupi salji dan kebanyakannya menghabiskan masa dalam kebosanan agaknya. Pada awalnya, Yossi dan Jagger, umpama dua sahabat akrab, dengan pelbagai gelagat yang mencuit hati dan berkesan bagi orang macam kita. Hinggalah pada satu hari apabila kedua-dua mereka bersendirian, mereka pergi jauh dari askar lain, kononnya untuk memeriksa kawasan, dan setibanya di kawasan penuh salji, mereka pun "melakukannya". Tiada makhluk lain yang memerhati kecuali arnab. Sangat cute adegan ini, dan boleh membuat orang kita makan hati, aku pasti.




Perhubungan mereka walau bagaimanapun tidak lari daripada ketegangan, terutamanya disebabkan Yossi yang lebih macho dan lebih closet yang tidak selesa dengan seksualitinya. Dia juga tidak suka dengan minat Jagger kepada muzik ala-diva dan citarasanya yang lain yang tidak begitu "jantan". Jagger yang lebih kacak dan lebih periang ternyata lebih yakin dengan dirinya dan cuba meyakinkan Yossi untuk meninggalkan bidang ketenteraan mereka. Jagger juga mahu mendengar Yossi mengucapkan kata cinta kepadanya, sekaligus menzahirkan fantasi romantisnya bersama yang tersayang.

Apabila dua askar wanita yang lawa, Goldie (Hani Furstenberg) dan Yaeli (Aya Koren) tiba di kem itu, mereka terpikat pada Yossi dan Jagger. Goldie melihat peluang untuknya memenuhi keperluan seksualnya bersama Yossi, manakala Yaeli pula seorang romantik yang begitu tertarik dengan Jagger dan sensitivitinya.

Walaupun dia terfikir tentang citarasa Jagger kepada perempuan, namun Yaeli tidak mahu mengalah. Seorang askar lain, Ofir (Assi Cohen) menyukai Yaeli tetapi ditolak. Lalu Ofir menyalahkan Jagger dan mula membencinya.

Bagi aku, filem ini cukup segala perisanya untuk menarik penonton melekat dari awal hingga akhir. Dialognya dalam bahasa Hebrew tidak menjadi masalah kerana cara ia digarap sangat kemas. Setiap watak dicorakkan dengan rapi. Yossi & Jagger mungkin saja sebuah kisah cinta orang kita, tetapi filem ini, yang pengakhirannya begitu menusuk kalbu, adalah satu kajian psikologi secara halus dan menyakinkan serta moral di kalangan orang kita yang tertekan berada di dalam persembunyian.




~ Aria