Arahan: Ira Sachs
Tulisan: Ira Sachs, Mauricio Zacharias
Lakonan: Thure Lindhardt (Erik), Zachary Booth (Paul), Julianne Nicholson (Claire), Souleymane Sy Savane (Alassane), Miguel del Toro (Igor).
Filem ini mengulum beberapa sisi penulis, menelanjangkan sikap yang pernah penulis lalui. Ironinya, kisah ini didombakan oleh Ira, sang pengarah darah Yahudi New York yang pernah menempuh cinta bersama seorang ejen sastera yang kacak dan pendiam,
Bill Clegg. Ira menulis filem ini dengan Mauricio Zacharias, namun dengan jelas Ira mendapat inspirasi daripada teman lelakinya sekarang, Boris Torres, yang mana kita boleh lihat, paparan catan lelaki bogel pada kredit awal filem merupakan tanda naskhah Boris.
Namun yang lebih jelas daripada itu ialah perasaan kuat dan kasih sayang Ira/Erik terhadap sebuah hubungan yang meniti kehancuran, dan hal itu sudah jelas dengan kerakusan tanpa pendirian, depresi diri, dan emosi hiperbola Paul, yang dinyatakan dengan jelas: kerana mengambil dadah.
Penulis mempunyai beberapa singkap pesona seperti Paul, dan menonton ini menyakitkan. Penulis sakit melihat diri penulis sendiri terbayangkan, dengan selingkuh, depresi, mohon ruang menyendiri, mulut lancang, dan sikap tidak jaga diri walaupun terdapat seseorang yang mencintai. Kita berjalan pada jalan yang tidak ramai yang mahu ungkapkan. Mungkin kita para yang bergelumang dengan ayunan syair dan bisu teks terjerat dalam keadaan penuh eksistensialis yang menolak perasaan dan kejujuran orang lain. Mungkin kita mempunyai ego tersendiri, dan tidak melihat kepentingan orang lain. Mungkin dadah kita ialah minta diisi oleh diri kita sendiri. Dan kita masih mencari bayangan itu di sebelah kita yang kosong.
Erik sudah melakukan segalanya. Segala-galanya. Dia pun bukannya malaikat, namun dia mempunyai pendirian dan dia mempercayai kepada perhubungan. Jika Woody Allen pernah menampilkan kaladiskop dan saga romantisme sebenar dalam daya moden New York dalam
Annie Hall, dengan gelak tawa dan sindiran, Ira lebih kelam dan menjunam terus dalam lombong hitam, menarik segala lelaki girang urban yang mengetahui talian benang tipis yang mengikat dua insan yang bila-bila masa sahaja akan terputus. Filem ini bukan sahaja tentang jerih dan indah hubungan kejap-lama dua lelaki itu, tetapi obsesi (dadah, seks, diri, kerja, ruang) yang dihadapi oleh dua insan yang sudah berkomited, menelanjangkan dengan benarnya tentang sikap keinginan dan kemahuan lelaki. Tidak pernah terfikir tentang kecundang. Kompleksiti perhubungan Erik-Paul jelas, yang mungkin melecehkan bagi peminta monogami, namun ini bukan maksud Ira untuk memperlekehkan perhubungan gay, tapi menampakkan pelbagai sisi, impian, dan cabaran dalam perlakuan, yang tidak tersingkap dalam perhubungan dua jantina sama sahaja, hal ini barangkali berlaku juga dengan mana-mana hubungan hetero, mahupun panseksual atau apa-apa.
Tangkapan filem ini merupakan suatu gerakan sinema yang baik, dengan intim dan rencam menulis suatu puisi gelap, kadang-kadang erotis tentang perhubungan dan cinta, dengan bantuan cahaya semula jadi. Lihat pada awal yang gelap (kotor) yang membisik sikap pencarian seks, warna kuning banyak dimainkan. Kemudian cahaya harmoni dan terang, jiwa gembira Erik tersampaikan, namun ini dunia, dengan sekali lagi, kelam dan bayang-bayang kembali mengacau cahaya dan babak-babak inilah yang paling kuat dalam filem ini. Gerakan kameranya biasa dan senang tetapi penuh kuasa dan kefahaman ruang.
Paling baik ialah dinamisme Thure dan Zachary yang bermain dalam tiga empat lapisan yang diperlukan, membuatnya benar-benar seperti terpampang mereka manusia biasa tengah kota yang berkeinginan dan berdarah. Thure di sini menampilkan kekuatan yang "makan dalam", menyampaikan dengan baik, malah kadang-kadang melihat segala yang diperlakukan oleh hidup terhadapnya secara absurd. Zachary seorang lelaki yang cantik dan keliru. Kelkeliruan yang sungguh berjaya disampaikan. Detik laku seks mereka juga emosional dan intim, terasa ditusuk atau memasuk. Ini dibantu dengan skrip ketat Ira dan Mauricio yang memahami hal sebalik bilik tidur yang diperlukan dalam kisah terdesak dalam kemurungan dan cinta di tengah kota yang mencabar. ~Yadi