Friday, 21 February 2014

Twisted Romance/Vil Romance (2008)

Argentina | 2008 | 103min
Arahan & Tulisan: Jose Campusano  
Lakonan:  Oscar Génova (Raul), Nehuén Zapata (Roberto), Marisa Pajaro (Alejandra)

Di pinggir Buenos Aires, seorang budak muda bernama Raul "usha" Roberto, mamat yang dah berusia 50 tahun dan perpewatakan kasar (dan pada aku, nampak kotor, membuatkan aku terfikir sama ada Raul ni sangat gersang ataupun sengaja nak pancing sugar daddy (walaupun Roberto bukan nampak seperti orang kaya). Kemudian barulah kita tahu bahawa Raul terdesak untuk keluar dari kehidupannya bersama ibunya yang kadang kala menyundal menjadi pelacur.

Raul bersabar dengan cara Roberto yang kasar dan memang tidak pernah menikmati hubungan seksual dengannya. Tugas Raul sebenarnya mudah, hanya menadah apabila Roberto mahu. Pakcik Roberto ini jenis yang possessive. Raul, dalam pelarian jiwanya, ber-chatting di internet yang membawanya bertemu seorang mamat hensem yang muda. Mereka lalu suka sama suka dan pergi ke hotel untuk "itu".

Perhubungannya selepas itu diketahui pakcik rakus Roberto ini. Keganasannya makin terserlah. Begitulah serba sedikit ringkasan cerita ini. Tapi lebih dari itu, aku rasa pengarah dan penulisnya telah berjaya menggambarkan sebuah perhubungan tidak seimbang dalam sebuah masyarakat tanpa peraturan. Cerita dasar adalah klise tapi sukar dijangka.
~ Aria



Free Fall/Freier Fall (2013)


Arahan: Stephan Lacant     Tulisan: Lacant & Karsten Dahlem     Lakonan: Hanno Koffler (Marc Borgmann), Max Riemelt (Kay Engel), Katharina Schüttler (Bettina Bischoff)

Ada yang menganggap filem ini sebagai Brokeback Mountain versi Jerman (walaupun ia bukan tentang cowboy). Ia tentang perhubungan dua pegawai polis yang pada pandangan kasar mungkin sukar nak agak yang mereka ini orang kita. Marc Borgmann hero dalam cerita ini seorang polis muda (dan tampan tentunya) yang agak susah untuk bergaul atau digauli termasuk dengan rakan sebiliknya, Kay Engel (yang lebih tampan). Tapi sebagaimana cerita-cerita yang sering dipaparkan, perasaan tak suka lama-kelamaan bertukar suka, yang akhirnya, menjadi cinta. Begitulah secara mudahnya penjelasan tentang FREE FALL.

Namun begitu, tak semudah itu cinta hadir kerana si Marc ini dalam ketegori "confused" - tak pasti akan naluri sebenar dia. Marc punya teman wanita, Bettina, yang sedang mengandungkan anak mereka. Ini merumitkan lagi kehidupan dua alam yang dilalui oleh Marc. Situasinya lebih mudah bagi Kay yang sangat pasti akan "kekitaannya". Dia menyarankan agar Marc membuat pengakuan sebenar kepada keluarga dan teman wanitanya, tetapi Marc tidak bersetuju. Lalu Marc menyuruh Kay agar pergi dari hidupnya. 

Aku rasa orang kita pantang dicabar dan begitulah Kay yang akur, dan memutuskan untuk pergi. Marc mendapati dirinya dalam kecewa, jiwanya kosong, hatinya luka. Sedih lah pulak padahal itu semua cadangannya sendiri. Lebih menyakitkan, ibu bapa, teman wanita, dan sahabat baiknya tahu tentang identiti sebenarnya. Nasi jadi bubur. Marc hilang apa yang cuba disembunyikan selama ini, dan dia juga hilang apa yang selama ini mahu disimpannya iaitu cintanya - Kay.

Moral kisah ini? Aku biarkan korang simpulkan sendiri. 
Suka atau tidak? Ya aku suka filem ini walaupun kisahnya agak tipikal tentang orang kita yang cuba berlindung di balik tirai, atas nama 'kemanusiaan' dan 'masyarakat'.
Apa yang menarik? Pelakon berbakat, pengarahan yang baik, frontal nudity.
~Aria



Trick (1999)

Arahan: Jim Fall      Tulisan: Jason Schafer     Lakonan: Christian Campbell (Gabriel), John Paul Pitoc (Mark), Tori Spelling (Katherine)

Sebelum terus membaca, aku nak bagitau komen ni ada spoiler sebab ada sebut tentang pengakhiran ceritanya. Kalau nak, boleh baca tapi jangan baca sampai habis.

Kisah komedi romantik yang sangat kena dengan orang kita, mengingatkan aku pada zaman clubbing di Blue Boy di lorong berhampiran gerai Kak Ara di Jalan Bukit Bintang pada sekitar 1995-1999. Lalu terus aku memilih untuk mengulas filem ini sebagai yang pertama dalam blog ini. (*Nota: aku bukan seorang pengulas filem apa lagi pengkritik. Bukan selayaknya aku menjadi itu). Tapi, sepertimana cerita dalam TRICK, apa yang kutulis ini bertolak daripada naluri semata. Seperti juga Gabriel yang pertama kali melihat Mark di bar orang kita di mana Mark menjadi penari a-go-go. Kemudian, dia bersua mata lagi dengan Mark di dalam tren Metro (kalau di KL, kiranya LRT lah tu).

Lumrah orang kita (mungkin bukan semua, tapi kebanyakannya), pantang nampak yang elok, terus anak mata mencuri melirik, dan jantung berdegup tidak seperti biasa. Begitulah tingkah Gabriel bila kebetulan duduk bertentang dengan si hunky Mark.

Gabriel seorang pekerja sementara di pejabat (yang dipanggil office temp dalam bahasanya)  yang juga penggubah muzik yang baru-baru berjinak dalam bidangnya atas minatnya yang mendalam dalam bidang ini - tipikal orang kita berjiwa seni mungkin. Gabriel pandai bermain piano. Maka Gabriel ini digambarkan oleh sang pengkarya sebagai "anak ikan" yang baik tapi pada masa yang sama, manusia biasa yang ada sifat "kegatalan" yang tersembunyi dalam dirinya.

Mark pula seorang penari a-go-go di sebuah kelab gay, jadi dia lebih terbiasa dengan tawaran dan godaan jantan-jantan (atau lebih tepatnya, kakak-kakak dan adik-adik) yang sering rakus dan berani. Aku suka scene awal di dalam tren itu (sebenarnya banyak scene yang aku suka yang kena dengan aku dan orang-orang kita) apabila Mark yang perasan akan tarikan Gabriel terhadapnya, pura-pura tidur dengan menutup mata. Mark menanti dirinya ditegur atau dalam bahasa mudah, di "usha" barangkali. Tapi Gabriel yang kemaluannya lebih besar daripada kemahuannya, hanya memendam nafsunya. Lalu apabila tren tiba di destinasi, Gabriel hanya berjalan keluar dalam kecewa kerana tidak tergerak untuk memberanikan dirinya untuk "usha" si hunky Mark itu.

Agaknya Mark rasa tercabar kerana tak selalu dia dalam keadaan tidak di "usha", lalu sebaik sahaja pintu tren mula tertutup, Mark menolak daun pintu dan keluar untuk menegur Gabriel.

Lalu bermulalah adventure mereka untuk mencari tempat untuk "itu". "Itu" maksudnya tempat untuk melepaskan gundah dalam jiwa, memuaskan apa yang tiba-tiba berserakah dalam raga orang kita. Gabriel membawa Mark ke apartmentnya untuk 'bermain' tetapi malangnya, rakan sebiliknya tengah 'projek' dengan girlfriend nya.

Satu demi satu rancangan mereka untuk bersuka ria gagal, dengan kemunculan rakan baik Gabriel, fag hag bernama Katherine yang dilakonkan dengan berkesan oleh Tori Spelling. Malam mula berlalu, dan fajar mula menyingsing tetapi mereka masih tidak mencapai matlamat mereka. Aku boleh bayangkan betapa gelodak perasaan Gabriel ketika itu, dan Mark juga. Daripada penyatuan yang sepatutnya berakhir dalam masa sejam, atau dua jam mungkin, tiga jam tak mungkin, kedua-dua mereka menyusuri malam dari satu tempat ke satu tempat, dari satu perkongsian perbualan kepada dua, tiga yang lain, tanpa apa-apa yang seksual langsung.

Makanya, matlamat memenuhi keghairahan seksual tidak tercapai. Dan bila akhirnya matahari jelma, Gabriel dan Mark harus membawa haluan masing-masing. Sebelum Mark nak naik LRT balik ke rumahnya (yang jauh dari situ katanya), dia memberikan nombor telefon rumahnya kepada Gabriel supaya dia boleh menghubunginya. Sebelum berpisah, mereka berkucupan. Kucupan pertama setelah mengharungi malam yang penuh peristiwa.

Setelah Mark hilang dari pandangannya, Gabriel membaca nombor yang ditulis di atas kertas itu. Tidak yakin, Gabriel berjalan menuju ke pondok telefon lalu mendail nombor itu, dan dijawab oleh answering machine - lebih kurang macam ni lah jawapan mesin tu - "Hey this is Mark, you got me..."

Gabriel meletakkan gagang telefon, senyuman di bibirnya. Dia berlalu dari situ. Aku kira hatinya juga sedang senyum ketika itu kerana one night stand yang tak jadi kini bertukar menjadi kemungkinan sebuah ikatan perhubungan.

Sweet tak cerita ni? Kalau rasa sweet, boleh je komen kat sini.
Selamat menonton bagi yang belum menonton, dan selamat menonton lagi bagi yang sudah menonton.

Life is indeed a trick of fate...
~Aria

Thursday, 20 February 2014

Stranger by the Lake/L'inconnu du lac (2013)


Arahan: Alain Guiraudie Tulisan: Alain Guiraudie Lakonan: Pierre Deladonchamps (Franck), Christophe Paou (Michel), Patrick D'Assumcao (Henri), Jerome Chapatte (Inspektor Damroder), Mathieu Vervisch (Eric).

Sastera Perancis harus dikenali untuk mengulum dalam filem ini.

Le petite mort atau pembunuhan kecil ialah kiasan maksud buat seseorang yang baru melepaskan nikmat orgasmanya. Le grande mort ialah pembunuhan.

Masuk Franck - lakonan tulus dan emotif Pierre Deladonchamps bermata separa sepet - menikmati matahari dan tubuh para lelaki yang tidak dikenali di sebuah tasik indah pada suatu musim panas Perancis. Franck sendiri senang menonjolkan anu dan pinggul muda dan putihnya kepada pemerhati. Seorang daripadanya ialah Henri, yang walaupun mengaku hetero, mula mempunyai semacam perasaan plutonik terhadap Franck yang tampan.

Nafsu Franck tersadai pada seorang lelaki berkumis dan tegap, Michel. Tapi Michel sedang meniduri seorang lelaki, dan ini menyakitkan Franck.

Apa yang filem ini cuba bawakan ialah suatu penonjolan bagaimana pengalaman le petite mort juga menimbulkan le grande mort, walaupun hal ini tidak disengajakan dan tidak mungkin menyatu dalam deria realiti. Perkara ini lebih memahami kesenian kepuasan daripada maksud erotis yang dibawa, dan dengan pelik, sebagai seorang homoseksual, hal ini sedikit mengganggu walaupun realitinya mungkin sudah separa terjadi.

Jelas, pengarah yang juga menulis, mempersembahkan sisi dunia homoseks yang dikaburi semak-samun dan ditabir pohon rendang, di tepi tasik, lelaki-lelaki berorgasma, masuk dan menghisap, membenih pohon-pohon yang sudah tumbuh. Latarnya sendiri metafora terhadap suatu keinginan yang tak dapat ditahankan, dan hanya mungkin berlaku pada musim panas itu.


Babak ini mungkin ditentang para homoseks kerana mengizinkan imej yang jijik dan fatalis terhadap jiwa homo. Cruising merupakan epitom kemarahan itu. Tapi Alain melakar filem ini dari sisi kefahaman lurus bendul jiwa yang dahagakan seks dan cinta, sisi Franck. Kehausan Franck jelas, ingin mempunyai rakus tubuh Michel, lalu ia hanya terjelas terlempias dengan le petit mort apabila dia dihinggap lelaki lain. Franck tidak risau dengan seks tanpa keselamatan. Metafora ini menjadi litar besar yang mengaitkan intipan Franck yang melihat Michel membunuh pasangannya di tengah tasik. si petit mort menonton grande mort. Kemudian Michel dengan selamba mendekati Franck. Fantasi Franck tanpa kondom diisi oleh Michel. Franck dibunuh berlak0kali oleh Michel. Tasik itu menjadi syurga kecil berahsia di dasar airnya. Sehinggalah mayat dijumpai.

Filem Alain tidak mahu menghakimi pilihan eksistensial Franck terhadap pilihannya mendiamkan jenayah Michel. Segalanya suatu jenayah, termasuk pilihan Franck melihat Michel dengan bisu, serta pilihan Franck untuk merodok Michel tanpa keselamatan. Segala-galanya merbahaya, dan Michel bayangan maksud itu, yang secara nihilis, diinginkan oleh Franck, walaupun Franck menolaknya secara awal. Adakah ini suatu permainan bahaya, atau suatu kelaziman bahaya yang wujud dalam diri manusia? Malah keberadaan Michel sendiri ialah tanda penjiwaan dan keinginan segala yang manusia cari, dan manusia terus mencari keinginan sebegitu, walaupun terbunuh dalam perjalanannya. 

Sebuah filem indah yang merbahaya dan saling menggunakan emosi debaran sebagai emosi dalam debaran nafsu dan cinta. Segalanya dicelarukan. Segalanya cair dalam pekat malam. ~Yadi

Nota Pendahuluan


Aku jauh daripadanya, sangat jauh. 

Dia telah meninggalkan aku, lama.

Tapi cukup dalam hati kelamin masing-masing, kita tidak mahu kalah.

Dan dunia serba menyesak untuk kita menjadi kita.

Lalu kita tinggal menulis dalam nama pena, dan kali ini, aku hanya Yadi.

Perasaan ini hingar kembali setelah menonton Her, filem baik yang memasuki Oscar tahun ini.

Dalam titipan warkah Joaquin Pheonix yang terakhir, dia menulis suatu e-mel cinta kepada bekas isterinya. Aku tahu, dalam diam, dia menulis warkah itu buat Samantha, kekasih tinggalnya.

Warkah yang sempurna kata-kata itu aku titipkan buat dia, jantina sama, dari seberang gunung dan terikat daripada sempadan. Aku nyatakan kepadanya, warkah itu sesuai untuknya, agar dia tahu betapa dia penting buat aku.

Dia membalas, akur dan setuju.

Sudah lama aku tidak menyentuh filem-filem yang mempadukan aku dan dia, kekasih tinggal, kekasih jauh. Kami sama-sama terputus kerana sejarah dan agama. 

Lantas aku kembali sebagai suara sunyi, membina sejarah dan agama sendiri buat kami berdua yang faham cinta antara dua arjuna itu pun suci. Pun terserlah bahagia sesarwajagatnya. 

Seperti dua bintang yang menyapa, menyinar terus walau ruangnya malap.

Kita hanya perlukan ketelusan. Dan setakat ini, nama pena ini cukup.

~ Yadi