Thursday, 20 February 2014

Stranger by the Lake/L'inconnu du lac (2013)


Arahan: Alain Guiraudie Tulisan: Alain Guiraudie Lakonan: Pierre Deladonchamps (Franck), Christophe Paou (Michel), Patrick D'Assumcao (Henri), Jerome Chapatte (Inspektor Damroder), Mathieu Vervisch (Eric).

Sastera Perancis harus dikenali untuk mengulum dalam filem ini.

Le petite mort atau pembunuhan kecil ialah kiasan maksud buat seseorang yang baru melepaskan nikmat orgasmanya. Le grande mort ialah pembunuhan.

Masuk Franck - lakonan tulus dan emotif Pierre Deladonchamps bermata separa sepet - menikmati matahari dan tubuh para lelaki yang tidak dikenali di sebuah tasik indah pada suatu musim panas Perancis. Franck sendiri senang menonjolkan anu dan pinggul muda dan putihnya kepada pemerhati. Seorang daripadanya ialah Henri, yang walaupun mengaku hetero, mula mempunyai semacam perasaan plutonik terhadap Franck yang tampan.

Nafsu Franck tersadai pada seorang lelaki berkumis dan tegap, Michel. Tapi Michel sedang meniduri seorang lelaki, dan ini menyakitkan Franck.

Apa yang filem ini cuba bawakan ialah suatu penonjolan bagaimana pengalaman le petite mort juga menimbulkan le grande mort, walaupun hal ini tidak disengajakan dan tidak mungkin menyatu dalam deria realiti. Perkara ini lebih memahami kesenian kepuasan daripada maksud erotis yang dibawa, dan dengan pelik, sebagai seorang homoseksual, hal ini sedikit mengganggu walaupun realitinya mungkin sudah separa terjadi.

Jelas, pengarah yang juga menulis, mempersembahkan sisi dunia homoseks yang dikaburi semak-samun dan ditabir pohon rendang, di tepi tasik, lelaki-lelaki berorgasma, masuk dan menghisap, membenih pohon-pohon yang sudah tumbuh. Latarnya sendiri metafora terhadap suatu keinginan yang tak dapat ditahankan, dan hanya mungkin berlaku pada musim panas itu.


Babak ini mungkin ditentang para homoseks kerana mengizinkan imej yang jijik dan fatalis terhadap jiwa homo. Cruising merupakan epitom kemarahan itu. Tapi Alain melakar filem ini dari sisi kefahaman lurus bendul jiwa yang dahagakan seks dan cinta, sisi Franck. Kehausan Franck jelas, ingin mempunyai rakus tubuh Michel, lalu ia hanya terjelas terlempias dengan le petit mort apabila dia dihinggap lelaki lain. Franck tidak risau dengan seks tanpa keselamatan. Metafora ini menjadi litar besar yang mengaitkan intipan Franck yang melihat Michel membunuh pasangannya di tengah tasik. si petit mort menonton grande mort. Kemudian Michel dengan selamba mendekati Franck. Fantasi Franck tanpa kondom diisi oleh Michel. Franck dibunuh berlak0kali oleh Michel. Tasik itu menjadi syurga kecil berahsia di dasar airnya. Sehinggalah mayat dijumpai.

Filem Alain tidak mahu menghakimi pilihan eksistensial Franck terhadap pilihannya mendiamkan jenayah Michel. Segalanya suatu jenayah, termasuk pilihan Franck melihat Michel dengan bisu, serta pilihan Franck untuk merodok Michel tanpa keselamatan. Segala-galanya merbahaya, dan Michel bayangan maksud itu, yang secara nihilis, diinginkan oleh Franck, walaupun Franck menolaknya secara awal. Adakah ini suatu permainan bahaya, atau suatu kelaziman bahaya yang wujud dalam diri manusia? Malah keberadaan Michel sendiri ialah tanda penjiwaan dan keinginan segala yang manusia cari, dan manusia terus mencari keinginan sebegitu, walaupun terbunuh dalam perjalanannya. 

Sebuah filem indah yang merbahaya dan saling menggunakan emosi debaran sebagai emosi dalam debaran nafsu dan cinta. Segalanya dicelarukan. Segalanya cair dalam pekat malam. ~Yadi

1 comment:

  1. Terima kasih atas ulasan ini. Pasti akan dicari filem ini dan ditontoni. Harap2nya tak berakhir dgn onani.

    ReplyDelete